Waktu Solat

Tuesday, December 15, 2009

Pengenalan

Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Kahang (PBTM Kahang) telah ditubuhkan atas usaha gigih Pengerusi Penaja ketika itu, En. Mohd Salleh Ibni Hassan yang menyedari perlunya satu wadah rasmi di kalangan bekas-bekas tentera bagi menyuarakan sebarang permasalahan. Selepas selesainya mesyuarat penaja PBTM Kahang pada 3 November 2002 di Balai Kelompok Kg. Sri Timur, Kluang, satu surat permohonan telah dihantar ke Ketua Eksekutif PBTM Negara oleh Pemangku Yang Dipertua PBTM Bahagian Negeri Johor, Tn. Hj. Kamis Bin Md Nor pada 13 November 2002.
Kira-kira sebulan kemudian iaitu pada 16 Disember 2002, Lt. Kol (B) Abdullah Hamidi Bin Mohamed Nor selaku Ketua Eksekutif PBTM Negara telah mengajukan surat permohonan pendaftaran ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Akhirnya PBTM Kahang telah diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan melalui suratnya PPM/C 1/49 Jld.2 (30) bertarikh 8 Januari 2003 dengan Nombor Pendaftaran PPM/J 1/49 – 226 mengikut peruntukan Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966 dan didaftarkan di alamat No. 1, Jalan 6/1 Kampong Gajah, 86000 Kluang, Johor.
Pada 16 Mac 2003, perasmian pengesahan cawangan telah dilakukan di Balai Kelompok Kg. Sri Timur, Kluang oleh ADUN Paloh ketika itu, YB En. Chong Oh Owon p.i.s. dan serentak dengan itu juga Mesyuarat Agung kali Pertama telah diadakan dengan En. Mohd Salleh Ibni Hassan dipilih sebagai Ketua Cawangan PBTM Kahang yang pertama.
Bermula dengan hanya 63 orang ahli di awal penubuhannya, kini keanggotaan PBTM Kahang telah menjangkaui ke angka 460 orang dan merupakan cawangan yang teramai keahliannya dan paling aktif di peringkat Bahagian Negeri Johor. Kekuatan cawangan ini bukan terletak kepada jumlah keahlian yang ramai tetapi terletak kepada kerjasama dan semangat kerja berpasukan di kalangan ahli-ahlinya secara umum dan di peringkat jawatankuasa khususnya.
Kini PBTM Kahang maju setapak lagi seiring dengan ledakan arus teknologi maklumat. Seperti mana organisasi-organisasi lain yang telah memperkenalkan laman blog masing-masing, begitulah juga dengan PBTM Kahang turut tidak mahu ketinggalan dengan memperkenalkan laman blog pbtmkahang.blogspot.com untuk kemudahan ahli-ahli dan bukan ahli yang mungkin turut berminat menyoroti aktiviti-aktiviti cawangan ini.